Tumpuan :
Nasional

Keadaan rumah pusaka P. Ramlee amat menyedihkan – Rais Yatim

Rais ketika meninjau keadaan bumbung rumah kelahiran Seniman Agung Tan Sri P Ramlee di Jalan P Ramlee. – FOTO: Rais Yatim/ Facebook

GEORGETOWN: Senator Tan Sri Dr Rais Yatim menggesa pihak berkenaan segera memperbaiki kerosakan struktur bumbung rumah kelahiran seniman agung Tan Sri P. Ramlee di Jalan P. Ramlee, di sini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, semalam, Rais berkata, ketika mengunjungi rumah terbabit Ahad lalu, beliau mendapati atap dan siling rumah berkenaan hampir roboh.

“Betul-betul terkejut bila mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung kita ini hampir roboh lantaran kebocoran yang berlarutan.

“Saya ambil peluang ini mohon supaya jabatan yang bertauliah supaya segera lalukan kerja pembaikan. Keadaannya amat menyedihkan, apatah lagi ini rumah P Ramlee, seniman idola kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Mengulas lanjut Rais mendakwa penjaga rumah warisan itu sudah mengemukakan laporan berhubung kerosakan pada tahun lalu.

“Tentu sekali roh ‘Ramlee’ akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar dan saya taksir kerosakan ini tidak lebih daripada RM15,000.  Wahai ketua jabatan, mailah (datanglah) tengok, cepat baiki,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Kelab Peminat P Ramlee Tan Sri Yusoff Latiff berkata, pihaknya akan menghantar surat makluman kepada beberapa jabatan berhubung perkara itu, hari ini.

“Kementerian dan jabatan berkaitan perlu ambil perhatian. Ini rumah warisan dan tarikan pengunjung, jadi ia perlu dipelihara sebaiknya dengan peruntukan yang ada,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Loading...
Terkini