comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Keadaan anak saya mukanya hancur disebabkan bekas ketukan’ – Bapa Noradriana

Nor Hasyim Tahir, bapa Allahyarham Noradriana, 11, ditemui pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini. – FOTO: NSTP

MUAR: Hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak yang terkorban bersama datuk dan neneknya dalam kebakaran rumah di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh di sini semalam dipercayai akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala.

Menurut Nor Hasyim Tahir, 43, bapa kepada Allahyarham Noradriana, 11, yang maut dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibu dan bapa mentuanya pagi semalam, muka anaknya hancur namun tidak mengetahui puncanya.

“Saya boleh cakap keadaan anak saya mukanya hancur disebabkan bekas ketukan. Saya tidak tahu apa puncanya.

“Menurut doktor, kesan kebakaran tidaklah teruk sangat malah kematiannya juga bukan disebabkan itu (kebakaran) tapi akibat ketukan kuat di kepala.

“Itulah yang membuatkan saya sedih apabila menatap jenazahnya petang semalam,” katanya ditemui selepas pengebumian Noradrian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, ibu bapa mentua, Mohamed Nor Mohamed Yasin, 82 dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, turut maut dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 85 peratus rumah separuh kayu.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, seorang anak pasangan warga emas terbabit yang juga bapa saudara arwah Noradriana, Azman Mohamed, 48, menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga kini.

Sementara itu, jiran Ghazali Abd Rahman, 53, pada hari kejadian mereka terdengar bunyi letupan dan menyangka ada penduduk bermain mercun.

Menurutnya lagi, apabila keluar rumah, dia melihat seorang remaja berlari di tengah jalan lalu meminta bantuan isterinya, Rozana Abdullah, 48, untuk memeriksa.

“Sebaik melihat Norazima Mohd Radhi, 14, remaja terus mendakap isteri saya dalam keadaan berlumuran darah.

“Pada masa sama, salah seorang anak saya melihat Azman menunggang motosikal berada di belakang Norazima.

“Namun, dia tidak memberhentikan motosikal sebaliknya meneruskan perjalanan memandangkan ada sebuah motosikal yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya.

Katanya lagi, anaknya terus menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan memandangkan keadaan Norazima trauma seperti ketakutan.

“Saya beranggapan mungkin Azman mengejarnya namun tidak berhenti selepas melihat ada penduduk melalui lokasi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini