Tumpuan :
Nasional

Jabatan Penjara tidak terima perintah tahanan rumah

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media khas di Putrajaya. – Foto NSTP

 

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara tidak menerima sebarang arahan untuk melaksanakan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya hanya menerima dua perintah dalam surat yang diterima daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Katanya, dua perintah yang diterima itu adalah tempoh hukuman penjara dipendekkan kepada enam tahun dan denda terhadapnya dikurangkan kepada RM50 juta.

“Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Pahang telah bersidang pada 29 Januari 2024, pada 2 Februari 2024, Jabatan Penjara menerima surat daripada BHEUU, Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.

“Surat itu dia ada dua perkara, pertama dia sertakan minit mesyuarat yang disebut sebagai peringatan butir-butir mesyuarat maksudnya semua pernincangan dan semua keputusan yang berlangsung dalam Lembaga Pengampunan ianya dicatit sebagai minit mesyuarat.

“Yang kedua adalah perintah yang diberikan kepada Jabatan Penjara, perintah ni maknanya sebagai perintah untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang dibuat bagi memberikan perspektif yang sahih dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan isu keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Tambahnya, surat yang diterima oleh KDN tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.

Oleh itu, katanya Jabatan Penjara hanya melaksanakan arahan yang terkandung dalam perintah tersebut.

“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya.

“Kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” katanya.

Terdahulu peguam kepada Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah harini ini dilaporkan berkata Titah Adendum yang ditandatangani sendiri oleh Al-Sultan Abdullah wujud namun disembunyikan daripada umum dan mendedahkan ia disahkan sendiri oleh Mohamad Nizar.

Jelas Muhammad Shafee, Mohamad Nizar sendiri menerima dokumen itu namun ia tidak ditandatangani kerana ia adalah rekod peribadi baginda.

Beliau kemudian merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu yang dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang memperakukan kewujudan dan kesahihan titah adendum berkenaan.

Beliau berkata pihaknya sudah menghantar enam surat termasuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengesahkan kewujudan titah berkenaan, namun ia tidak dijawab.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini