Tumpuan :
Nasional

KDN terbuka siasatan SPRM terhadap pegawai imigresen

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Oleh Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil sikap terbuka kepada cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan ke atas petugas Jabatan Imigresen (JIM) yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

Artikel berkaitan: Dakwaan rasuah, salah guna kuasa: JIM dan JPN disiasat

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SPRM boleh melakukan tugas siasatan sepenuhnya tanpa sebarang halangan dan akan menerima kerjasama sepenuhnya daripada KDN.

“Setakat mana keterbukaan ini? Setakat dua puluh lima jam sehari (jika boleh). Tak ada masalah. Itu menunjukkan bagaimana kami terbuka terhadap aspek kerjasama yang dimaksudkan.

Dalam masa sama, JIM adalah tonggak keselamatan negara di pintu sempadan. Siasatan JIM terhadap pelawat dijalankan jika mendapati perkara asas perjalanan pelawat tidak dipatuhi. Notis penolakan masuk (NTL) adalah kebiasaaan dan perlu dipatuhi,” katanya.

Saifuddin dalam pada itu mengingatkan bahawa mana-mana pelawat tertakluk kepada perkara asas NTL iaitu alamat tempat tinggal yang jelas, dana yang mencukupi sepanjang berada di negara ini serta mempunyai tiket penerbangan pulang.

Ini bagi mengelakkan keadaan di mana pelawat datang dengan tujuan melancong namun memilih untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

Sementara itu, KDN juga katanya akan membawa dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing bahawa wujud unsur rasuah melibatkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke mesyuarat kabinet Rabu ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-51 Peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara Bukit Selambau, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Saifuddin menghargai peranan petugas RELA yang kini dilihat menjadi pelengkap penting kepada tugasan kawalan keselamatan termasuk di pintu sempadan negara.

Loading...
Terkini