comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN teliti Akta 7, ‘bersih rekod’ individu tersenarai

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbang untuk menyemak semula Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan semula itu bagi memberi peluang kedua kepada individu yang tersenarai di bawah akta berkenaan untuk meneruskan kehidupan tanpa halangan seperti memohon pekerjaan atau perniagaan.

“Kami belum lagi buat sebarang keputusan, pihak polis khususnya dan kepemimpinan KDN sekarang sedang meneliti topik ini kerana ada kategori di mana orang yang sekadar dibuka kertas siasatan tapi tak dituduh di mahkamah, namun nama ada (dalam rekod).

“Apabila orang keadaan macam ini, kalau dia nak memohon pekerjaan atau nak mohon lesen perniagaan, dia kena melalui proses tapisan dan tapisan ini biasanya menyebabkan dia tidak dapat peluang pekerjaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, semakan itu turut membabitkan individu yang dihukum atas suatu kesalahan jenayah atau mereka yang ditahan mengikut undang-undang pencegahan.

Bagaimanapun, tegasnya, bukan semua individu boleh dibersihkan daripada senarai di bawah akta terbabit.

“Jadi inilah pertimbangan kami sedang teliti, jadi kami akan bangunkan, semak balik jadual kesalahan atau yang membawa kepada nama itu dimasukkan dalam rekod atau dalam senarai orang tidak diingini.

“Kami akan semak semula fasal dalam Akta 7 ini dari segi tafsiran, dari segi definisi, dari segi memasukkan perkara yang daripada akta lain atau keluarkan perkara yang bertindih.

“Sama ada memerlukan pindaan Akta 7 ataupun memadai dengan menteri mengguna pakai Seksyen 14 (Akta 7) yang memberi ruang budi bicara pertimbangan menteri untuk mengadakan peraturan,” katanya.

Biarpun tujuannya adalah untuk memberi peluang kedua, Saifuddin berkata, pihaknya tetap perlu cermat dan perkara berkaitan risiko keselamatan, tidak akan sesekali dikompromi.

Untuk rekod, setakat ini terdapat lebih sejuta individu yang tersenarai di bawah Akta 7.

“Kami akan menganalisis secara terperinci angka ini dan kami akan pecahkan mengikut kategori di mana mereka menjadi punca dimasukkan dalam rekod jenayah ataupun orang tidak diingini, untuk mempermudahkan rekod mereka dibersihkan melalui proses yang mematuhi semua aspek perundangan.

“Kami telah memulakan siri perbincangan dalaman, saya tidak menjangkakan masa yang terlalu panjang untuk kami ambil untuk kita umumkan langkah seterusnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini