comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN serah siasatan sepenuhnya kepada PDRM berhubung kes Dr. Mashitah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

PULAU REDANG: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penglibatan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Beliau juga percaya polis akan melakukan siasatan dengan profesional terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Aduan telah dibuat, polispun telah buka kertas siasatan jadi biar proses tu berjalan dulu, sudah tentu pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang jadi saya tak mahu menimbulkan sebarang spekulasi dan saya meletakkan sepenuhnya kepercayaan pada profesionalisme pasukan polis bila mereka sudah buka fail tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Mashitah menafikan terbabit dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan.

Beliau menerusi kenyataan di Facebook mendakwa, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan di Indonesia.

Sehubungan itu, beliau sudah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman pada Khamis, berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya.”

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin. Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang negara,” katanya yang ditulis di Facebooknya.

Terdahulu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik tempatan dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, dakwaan itu susulan tular satu video sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang diterbitkan di Indonesia mendakwa seorang ahli politik dan suaminya terlibat aktif dalam sindiket pemerdagangan manusia.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata jenayah rentas sempadan termasuk kes pemerdagangan manusia di negara-negara Asean menunjukkan trend peningkatan.

Jelasnya Malaysia juga tidak terkecuali dari kes berkenaan dan negara Asean bersetuju mengambil langkah proaktif mengatasi isu berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini