Tumpuan :
Nasional

KDN sedia memorandum Jemaah Menteri pinda Akta Perhimpunan Aman

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi menyegerakan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu disusuli dengan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) itu dapat dibentang di Dewan Rakyat.

“Arahannya kepada KDN adalah sidang tahun ini. Jadi saya kena buat memorandum Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian bantu terus untuk dapatkan keputusan dasar Jemaah Menteri bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman.

“Bila Jemaah Menteri dah setuju kami akan buat libat urus dengan semua stakeholder termasuk aktivis himpunan aman, Ahli Parlimen, kemudian kita akan olah metrik pindaan dan kita akan dibentang di Parlimen.” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) 2024 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

Tambahnya, walaupun proses berkenaan bakal dilakukan, kerajaan terus bersifat terbuka dan tidak menghalang perhimpunan aman dilakukan ketika ini.

“Sementara itu, Perdana Menteri kata kita moratariumkan, maknanya mulai sekarang kalau ada perhimpunan nak dibuat Seksyen 11 akta itu tak terpakai.

“Menyusul itu juga kertas siasatan yang telah dibuka juga tidak diteruskan.

“Tahun lepas kertas siasatan dibuka pihak polis ialah 1,787, yang berakhir di mahkamah adalah 30 pertuduhan. Maka ini menunjukkan kertas siasatan yang berakhir dengan tuduhan adalah rendah.

“Kerajaan MADANI sama sekali tidak menyekat perhimpunan aman. Silakan tiada masalah apa. Biar statistik berbicara. Jadi dengan itu, Perdana Menteri kata, lakukan pindaan, maka kami lakukan pindaan.” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan setuju untuk meminda Akta 736 bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan apa juga keputusan daripada badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bermakna keperluan mendapatkan kelulusan tempat seperti diperuntukan dalam Seksyen 11 Akta 736 akan dipinda dan diketepikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini