PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PK) telah menjalankan serbuan ke atas sebuah premis di Batu Caves, Selangor yang dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan barangan untuk tujuan jualan dalam talian.
Dalam serbuan itu, sejumlah 703 jam digital yang mengandungi audio 30 juzu’ Al-Qur’an dianggarkan bernilai RM230,000 telah disita kerana tiada perakuan KDN berdasarkan keperluan di bawah APTQ 1986 dan menahan dua individu di premis berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Mana-mana penerbitan Al-Qur’an dalam pelbagai bentuk yang mengandungi satu juzu’ atau lebih ayat Al-Qur’an hendaklah mendapatkan perakuan KDN terlebih dahulu sebelum diedar ataupun dijual di negara ini. Ayat Al-Qur’an yang tidak mempunyai
perakuan KDN sudah tentu tidak melalui proses semakan pakar di KDN. Al-Qur’an yang tidak mempunyai perakuan KDN ini dikhuatiri mempunyai kesalahan dan mengelirukan masyarakat melalui sebutan dan bacaannya kerana akan membawa maksud tidak tepat
sebagaimana ayat tersebut diturunkan.” menurut kenyataan yang dikeluarkan KDN hari ini.
Sehingga kini terdapat sejumlah 952 pruf akhir teks Al-Qur’an di Malaysia termasuk AlQur’an elektronik dan digital yang telah diluluskan oleh KDN untuk jualan dan edaran di Malaysia. KDN sentiasa mengalu-alukan permohonan semakan Al-Qur’an dalam apa
jua bentuk bagi tujuan untuk mendapatkan perakuan daripada KDN, menurut kenyataan itu lagi.
KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan Al-Qur’an yang menyalahi Akta ini.
Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu terlibat boleh dihukum sehingga 5 tahun penjara atau denda sehingga RM50 ribu atau kedua-duanya sekali atas kesalahan yang dilakukan.
Pihak KDN juga menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks serta bahan Al-Qur’an tanpa kelulusan dan bahan penerbitan yang tidak diingini dengan menghubungi pihak Kementerian Dalam Negeri di talian 03-8000 8000 / 8889 3145, emel [email protected] atau melalui laman web www.moha.gov.my.