Tumpuan :
Nasional

KDN pertimbang kelulusan permohonan baharu pekerja asing sektor perladangan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Siri Syarahan Menteri : “Madani Sedang Direalisasi, Dekad Baharu Malaysia” di UiTM Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbang kelulusan permohonan baharu pekerja asing khususnya untuk sektor perladangan sawit di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, beliau meminta pihak syarikat berkaitan memberikan jumlah pekerja asing diperlukan.

“Sejak September tahun lalu, kita sudah tutup permohonan. Tiada lagi permohonan pekerja asing yang baru.

“Datuk Jo (Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Johari Abdul Ghani) ada menyuarakan agar membuka permohonan untuk pekerja ladang terutama Sabah Sarawak… teruk tidak boleh petik buah, rugi ladang-ladang di sana.

“Saya cakap.. sekat dulu (permohonan), tanya dulu dengan syarikat ladang berapa ramai diperlukan?

“Kemudian kita akan buat tapisan, Lembaga getah Malaysia (LGM) akan tapis, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan tapis. Sahkan dulu, baru kita bermesyuarat (berhubung permohonan itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada program Syarahan Menteri anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan negara masih memerlukan tenaga kerja warga asing.

“Perlu atau tidak pekerja asing didatangkan di negara kita pada ketika ini untuk petik sawit, kerja di kilang, sektor pembinaan?

“Kalau kita kata tidak perlu, berapa ramai anak muda kita Melayu, Cina atau India yang sanggup ikat batu bata, petik sawit di ladang, pemandu kren?

“Kalau kita berfikir dengan waras, nescaya kita fikir kita masih perlukan. Kalau tidak lima sektor ekonomi, tidak berjalan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan pihak kementeriannya memaklumkan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk memasukkan perkara membabitkan pekerja asing dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Tahun lalu, Saifuddin memaklumkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 September 2024 didapati menghampiri jumlah siling ditetapkan.

Loading...
Terkini