Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Majikan yang ingin mengambil tenaga kerja asing menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai langkah pertama.
Dengan dokumen kelulusan bersyarat yang diberikan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh permohonan, majikan boleh membuat bayaran levi di Jabatan Imigresen (JIM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan kemudian boleh mengenal pasti pekerja asing di negara sumber untuk menjalani saringan kesihatan sebagai prasyarat sebelum pelepasan ke negara ini.
“Selepas proses tersebut, majikan perlu melengkapkan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR), permohonan ‘Single Entry Visa’ di luar negara, proses imigresen di pintu masuk antarabangsa, saringan kesihatan pekerja asing dalam negara dan seterusnya pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Selepas pengeluaran PLKS, majikan akan diberi tempoh maksimum enam bulan untuk mematuhi prasyarat yang dikecualikan di peringkat awal seperti pematuhan kepada undang-undang perburuhan dan kriteria kelayakan kuota di bawah KSM serta syarat minimum penggajian di bawah Agensi Kawal Selia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, bagi memastikan pematuhan terhadap prasyarat berkenaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama KSM memperkasa penguatkuasaan naziran dan inspektorat dalam urusan pengurusan pekerja asing.
Katanya, majikan yang didapati melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan selaras dengan akta-akta yang berkaitan.
“Elemen penguatkuasaan naziran dan inspektorat secara bersepadu ini adalah bagi mengimbangi elemen keselamatan dalam kepentingan kita untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
10 Januari lalu, Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya diwujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dibuka kepada sektor pekerjaan kritikal dan memberi impak langsung kepada peningkatan ekonomi negara.
Melalui pelan itu, majikan dibenar untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan dan dikecualikan daripada melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Berpaksikan elemen kesegeraan dan memudah cara kemasukan pekerja asing bagi suku pertama tahun ini, pelan tersebut berkuat kuasa mulai Januari sehingga 31 Mac depan.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar memaklumkan, lima sektor atau sub sektor kritikal di bawah pelan berkenaan meliputi perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan untuk restoran sahaja.
Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, delegasi Malaysia akan mengadakan lawatan kerja ke tiga negara sumber utama melibatkan Indonesia, Bangladesh dan Nepal dalam masa terdekat.
Lawatan itu bagi membincangkan mengenai keselamatan pekerja asing dan berunding dengan negara sumber berkenaan berhubung Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Berhubung pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0 yang dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, Saifuddin berkata, permohonan Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 itu boleh dibuat melalui laman sesawang JIM di pautan www.imi.gov.my.
Katanya, JIM akan memperincikan maklumat lanjut berkenaan perkara tersebut.
“Suka untuk saya tegaskan di sini bahawa KDN komited untuk memastikan keperluan industri dipenuhi tanpa berkompromi dari aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.