comscore
Tumpuan :
Nasional

KDN nafi laporan siasat Pastor Raymond diubah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan peguam keluarga Pastor Raymond Koh bahawa laporan pasukan petugas khas yang dikemukakan kepada pihak keluarga dan barisan peguam telah diubah.

KDN memaklumkan, laporan yang dikemukakan adalah laporan asal tanpa diubah dan dicetak atas kertas bertanda (watermark).

“Penggunaan kertas bertanda adalah bagi membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti pemilikan dokumen sekiranya berlaku penyebaran dokumen tersebut.

“Perkara ini telah diteliti bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi memastikan keselamatan laporan pasukan petugas khas terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KDN, laporan pasukan itu adalah merupakan dokumen milik Kerajaan Malaysia yang mana tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).

Mengulas lanjut, KDN akan mengemukakan salinan laporan pasukan petugas khas tanpa kertas bertanda kepada pihak keluarga dan barisan peguam keluarga Raymond.

“Ia berdasarkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 September 2024,” katanya.

Pasukan petugas khas itu diwujudkan pada Mei 2019 untuk mengkaji laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Raymond.

Pasukan berkenaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda antara lain bagi mengesyorkan bentuk tindakan yang wajar diambil kementerian atau pihak bertanggungjawab mengenai kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Amri yang juga pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016, manakala Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini