Tumpuan :
Nasional

KDN muktamad satu aplikasi untuk urusan imigresen dengan Singapura

FOTO: Ihsan Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

SINGAPURA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih satu aplikasi bagi urusan imigresen rakyat Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tiga aplikasi kini sedang menjalani “proof-of-concept” (POC) di BSI dan KSAB iaitu MyTrip, MyRENTAS dan MyBorderPass bagi menguji keberkesanan dalam mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara yang bersempadan dengan Singapura.

“KDN telah pun memuktamadkan satu daripada tiga vendor yang kita laksanakan POC. Kita telah kemukakan kepada Kementerian Kewangan minggu lepas untuk diperakukan,” kata Saifuddin Nasution kepada Bernama dalam Majlis Santai Bersama Diaspora Malaysia di Singapura, malam tadi.

Penggunaan aplikasi dalam tempoh ujian terbukti dapat memendekkan masa menunggu dan membantu mengurangkan kesesakan, manakala pengumuman rasmi mengenai aplikasi ini akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Selepas pelaksanaannya, Saifuddin menegaskan bahawa pengembara masih perlu membawa pasport untuk tujuan pengesahan meskipun urusan imigresen boleh dilakukan menggunakan aplikasi berkenaan.

Pada fasa awal pelaksanaan, aplikasi itu akan digunakan oleh pengembara bas dan motosikal di BSI dan KSAB sebelum diperluaskan kepada semua pengguna dan di kesemua 141 pintu masuk negara.

Data analisis menunjukkan dua kategori terbabit iaitu pengembara bas dan motosikal mewakili hampir 80 peratus daripada pengembara harian, manakala 20 peratus lagi adalah kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan, kata menteri itu.

FOTO: Ihsan Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

“Sedikit sebanyak (aplikasi) ini dapat membantu mengatasi isu dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) untuk melancarkan pergerakan manusia dan barangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata perbincangan dengan Singapura masih diteruskan berhubung cadangan Malaysia untuk melaksanakan “single-entry-point” imigresen bagi Rapid Transit System Link (RTS Link) yang kini dalam pembinaan.

“RTS akan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam, jadi (sistemnya) mesti seamless. Ini antara perkara yang akan menjadi fokus perbincangan dalam pertemuan pada Khamis,” katanya merujuk kepada pertemuannya bersama Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang Singapura K Shanmugam.

Projek RTS Link merangkumi rangkaian kereta api penumpang kira-kira sepanjang empat kilometer dengan dua stesen iaitu Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands Utara di Singapura.

Sementara itu, beliau berkata KDN sedia mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan pas khas kepada rakyat Singapura yang memiliki kediaman di Johor terutamanya menjelang pembangunan JSSEZ.

“Ia cadangan yang munasabah kerana banyak kebaikannya,” katanya ketika sesi soal jawab bersama diaspora Malaysia. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini