Tumpuan :
Nasional

KDN lupuskan Al Quran tiada perakuan 

MARAN: Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Pahang melupuskan lima tan al Quran yang tiada perakuan KDN dan rosak di Kompleks Pemuliaan al Quran di Chenor, Maran, di sini semalam.

Al Quran berkenaan diterima menerusi kempen Jom Exchange (Jeq) al Quran yang dilancarkan pada April lalu, sambutan terhadap program kali pertama diperkenalkan itu begitu menggalakan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Pahang, Syolahuddin Noor Azmi berkata sejak dilancarkan kempen Jom Exchange al-Quran pihaknya telah berjaya mengumpul lebih lima tan al Quran yang diterima daripada masyarakat Islam di Kuantan.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam aktiviti melupuskan al Quran, agensi berkenaan lebih berpengalaman dalam memastikan kesucian al Quran terus terbela.

“Proses pelupusan dilakukan dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas. Saya difahamkan proses membakar mengambil masa antara tiga hingga empat jam sebelum disejukkan selama tiga hari. Kemudian abu al Quran dijadikan bongkah sebelum melupuskan di laut.

“Sebagai permulaan kita menghantar lima tan al Quran yang tiada perakuan KDN dan rosak di Kompleks Pemuliaan al Quran di Chenor, proses membakarnya dilakukan secara berperingkat,” katanya, di sini semalam.

Dia yang turut sama menyertai aktiviti memindahkan dan pelupusan al Quran berkata, sebagai permulaan sebanyak 500kg al Quran dilupuskan hati ini (semalam), proses pelupusan dilakukan dua kali seminggu setiap Isnin dan Khamis.

Syolahuddin berkata, pihaknya akan mengadakan kempen Jom Exchange al-Quran setiap bulan disemua daerah di Pahang, selepas Kuantan bulan lalu diikuti Maran bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, di sini hujung bulan ini.

Beliau menambah, antara al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN ialah yang terdapat tulisan rumi keluaran negara jiran, bacaan al Quran tulisan jawi dengan rumi pasti tidak sama.

“Kebanyakan al-Quran yang diimport dari beberapa negara tidak mendapat kelulusan KDN, walaupun al-Quran berkenaan diluluskan penggunaanya di negara terbabit tetapi tidak di negara ini disebabkan beberapa faktor.

“Masyarakat Islam di negara ini perlu sedar berkaitan penggunaan al-Quran yang diluluskan KDN, mereka tidak seharusnya terus menerus menggunakan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Kini terdapat 916 jenis cetakan al-Quran di pasaran yang mempunyai perakuan KDN, menerusi kempen Jom Exchange al-Quran memberi peluang kepada masyarakat Islam yang memiliki al-Quran tidak diluluskan KDN tampil menukar al-Quran yang diluluskan secara percuma di pejabat KDN negeri, al-Quran yang rosak juga boleh ditukar dengan yang baharu,” katanya.

Loading...
Terkini