KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan sejumlah 55 kes penyeludupan dadah menggunakan dron dikesan berlaku di penjara sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kes penyeludupan dadah menggunakan dron paling serius berlaku di Penjara Tapah dan Penjara Alor Setar.
“Ada satu yang tidak berlaku masa Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin), ada (pula berlaku) tempat saya, adalah seludup dadah pakai dron.
“Dia jatuhkan dadah pakai dron, jadi kita kena ada anti-dron. Kita ada pasukan penembak untuk musnahkan dron,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam menghapuskan dadah yang dirampas daripada operasi dan serbuan, serta langkah diambil bagi menangani kes penyeludupan dadah yang berlaku di dalam pusat tahanan.
Tambahnya, terdapat tiga pelaku terbabit dalam kes penyeludupan dadah ke pusat tahanan antaranya petugas, ahli keluarga dan tahanan.
Sehubungan itu, kementerian memperketatkan prosedur di pusat tahanan dengan melakukan pemeriksaan ketika orang tahanan dibawa masuk pada hari pertama.
“Yang kedua, masa lawatan ahli keluarga, kita periksa betul-betul dan ketiga adalah tiada hari tanpa pemeriksaan rapi di sel atau bilik tahanan,” katanya
Menjawab mengenai SOP menghapuskan dadah dirampas daripada operasi dan serbuan, Saifuddin berkata pelupusan mesti mengikuti Perintah Tetap Ketua Polis Negara, khususnya Bahagian D207.
“Tapi sebelum dihapus, ada beberapa syarat. Yang pertama, dadah itu mestilah barang kes yang sudah selesai siasatan dan perbicaraan.
“Sejurus selesai, mahkamah atau Timbalan Pendakwa Raya kena keluarkan arahan supaya barang kes tersebut dilupuskan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.