comscore
Tumpuan :
Nasional

 KDN, Kerajaan Sarawak tubuh Pasukan Pertugas Khas tangani isu rakyat tanpa dokumen

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sarawak menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk bersama-sama menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan petugas itu dibahagikan kepada dua jawatankuasa,iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal.

Beliau berkata, Jawatankuasa induk akan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kedua-dua jawatankuasa akan menentukan dasar mengenai isu terbabit rakyat tanpa dokumen dan memutuskan mekanisma serta kaedah untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 62 surat keputusan kewarganegaraan kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di sini hari ini.

Jelasnya, berdasarkan Statistik oleh Jabatan Premier Sarawak, seramai 9,314 penduduk di negeri ini telah dikenal pasti tanpa dokumen pengenalan diri.

“Kerajaan Sarawak, mereka mempunyai satu pangkalan data yang kita membantu memudahkan untuk kita kenalpasti dan daripada situ bila pasukan pertugas khas, kita tahu lokasi mereka di mana untuk pasukan itu masuk.

“Itu penting sebab Sarawak ini luas, jadi dengan adanya pangkalan data terbabit  ia memudahkan usaha kita ini,” katanya.

Menurut Saifuddin Nasution, bagi menangani isu itu, agensi terbabit akan ke lokasi untuk bertemu individu terbabit seterusnya membantu menyelesaikan isu ketiadaan dokumen.

Ia kerana inisiatif yang dilaksana menerusi pasukan pertugas khas itu bersifat program jangkauan masyarakat dan bukan hanya menunggu masyarakat atau rakyat tanpa dokumen ini melaporkan perkara terbabit.

Usaha itu katanya selari dengan keperluan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan boleh dalam keadaan istimewa tertentu memerintahkan seseorang di bawah umur 12 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Loading...
Terkini