
Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan agar elaun Pasukan Khas agensi-agensi keselamatan di negara ini dipertingkat sehingga RM2,000 berdasarkan tempoh perkhidmatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira tahap risiko penugasan serta kepakaran yang dimiliki setiap pasukan.
Menurut Saifuddin, elaun perkhidmatan RM1,200 akan diberikan kepada anggota yang berkhidmat dalam tempoh satu hingga lima tahun manakala RM1,500 bagi tempoh perkhidmatan enam hingga 11 tahun.
Bagi anggota yang telah berkhidmat dalam tempoh 12 tahun ke atas, cadangan kenaikan elaun adalah sebanyak RM2,000.
“Peningkatan insentif ini kini menjadi keperluan mendesak memandangkan skop penugasan berisiko tinggi semakin bertambah dari semasa ke semasa.
“Kajian penyelarasan insentif pasukan khas bertujuan memastikan insentif yang diberikan seiring dengan tahap risiko tugas serta kepakaran tinggi yang dimiliki oleh setiap operatif UTK (Unit Tindak Khas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Unit Tindak Khas ke-50 di ibu negara, malam tadi.
Mengulas mengenai cadangan kenaikan elaun berkenaan, perkara itu katanya dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam majlis sama, beliau turut menyentuh aspek penambahbaikan dan keupayaan logisitk setiap agensi keselamatan bagi mendepani cabaran semasa.
Ini termasuk meneliti semula setiap peralatan dan kemudahan sedia ada bagi menampung keperluan operasi yang semakin mencabar.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Berikut merupakan elaun semasa Pasukan Khas PDRM, ATM, dan APMM:
1-10 tahun – RM600
11-15 tahun – RM750
16 ke atas – RM900