Tumpuan :
Nasional

KDN cadang Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada tahanan reman

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengusulkan cadangan untuk mewujudkan Akta Tahanan Rumah sebagai langkah bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan tersebut mengambil kira tahanan yang belum dibicarakan di mahkamah boleh menjalani tahanan reman di rumah, dengan syarat mereka dipasangkan dengan peranti pemantauan sehingga tiba tarikh perbicaraan mereka.

“Kita bercadang bahawa punca kesesakan yang ikut disumbangkan oleh mereka yang berada dalam penjara dan belum disabit, mereka ini namanya tahanan reman, maka inilah sasaran kami.

“Kalau Akta Tahanan Rumah ni boleh dibuat, kami berhasrat memberi kuasa kepada mahkamah untuk menimbang kemudian memerintahkan yang tahanan reman ini hendaklah ditahan reman di rumah dan dipakaikan peranti sehingga tarikh perbicaraannya.

“Jadi, kelebihan yang segera apa dia? Penjara kita akan lebih kondusif kerana tidak terlalu padat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan, akta tersebut tidak terpakai kepada individu yang ditahan reman kerana melakukan kesalahan termasuk jenayah yang memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup.

Tambah beliau lagi, tahanan reman yang didakwa di bawah kesalahan serius iaitu membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas seperti keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak untuk ditahan di rumah.

Setakat 6 November, terdapat 87,229 prospek termasuk 28,000 individu yang ditahan reman di penjara seluruh negara, walaupun penjara hanya mampu memuatkan 74,000 orang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu, Titah Adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah hanya khabar angin.

Menurutnya, persoalan itu tidak patut ditimbulkan, malah mahkamah sudah memutuskan mengenainya.

“Cerita adendum itu adalah perkara berkait dengan keputusan Lembaga Pengampunan. Ia di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Mahkamah anggap Titah Adendum ini satu ‘hearsay’ (khabar angin). Itu jelas keputusan mahkamah. Kita tak patut timbulkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang ingin tahu sama ada adendum yang diperkatakan ramai itu benar-benar wujud atau sebaliknya.

Justeru, memperincikan isu Titah Adendum, Saifuddin berkata, perkara terbabit sama sekali tidak berkaitan dengan kementeriannya.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) lagilah jauh (daripada isu ini), kita tidak anggotai Lembaga Pengampunan.

“Peguam yang berkenaan sudah mengatakan si polan dapat (cerita) itu daripada si polan, itu maknanya ‘hearsay’,” katanya.

22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini