Tumpuan :
Nasional

KDN beri jaminan perairan negara sentiasa diawasi

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan sentiasa bersiap-siaga untuk menjaga dan mengawasi sempadan maritim negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan penguatkuasaan Malaysia khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa mengesan bot yang membawa pelarian Rohingya di perairan negara hampir setiap hari.

Beliau menyatakan bahawa peningkatan ini disebabkan oleh gabungan faktor tolakan dan tarikan, dengan ketidakstabilan politik dan keadaan teruk di Myanmar menjadi punca utama penghijrahan mereka ke Malaysia.

“Faktor tolakan di Myanmar adalah pemacu utama, pada masa yang sama, kestabilan politik Malaysia dan masyarakat berbilang budaya yang harmoni bertindak sebagai faktor tarikan, memberi mereka harapan bahawa kehidupan mereka mungkin lebih baik di sini,” katanya.

Merujuk kepada kes sekumpulan pelarian mendarat di Langkawi, Saifuddin memaklumkan pihak berkuasa bertindak pantas dengan menempatkan kumpulan tersebut di Depot Tahanan Imigresen dan menjalankan proses pemprofilan.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sentiasa menangani perkara itu dengan penuh perikemanusiaan sambil mengekalkan kawalan ketat di sempadan perairan negara.

“Pasukan penguatkuasaan menjalankan tugas mereka dengan cekap, memastikan sempadan maritim kita selamat, melindungi kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan utama,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini