Tumpuan :
Nasional

KBS teruskan 10 gaya hidup Rakan Muda, tumpuan pada pertandingan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan meneruskan program 10 gaya hidup Rakan Muda pada tahun hadapan namun lebih berbentuk pertandingan.

Menurut Menterinya, Hannah Yeoh, program itu memberi peluang penyertaan belia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar dan belia.

“Bagi tahun 2025, program Rakan Muda akan terus dilaksanakan di semua negeri dan daerah termasuk Bangi dengan penumpuan diberikan kepada program berbentuk pertandingan sebagai satu platform penyerlahan bakat anak muda dalam pelbagai bidang.

“Program Rakan Muda turut memberi fokus kepada isu Kesihatan mental belia (Rakan Prihatin), Pendidikan demokrasi, perpaduan dan patriotisme dan pembentukan jati diri anak muda yang positif melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda,” jelasnya.

Tambah Hannah, bagi merancakkan lagi penglibatan pelajar sekolah dan belia, kementerian akan meneroka lebih banyak insentif lain bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan TInggi (KPT)

“Berhubung Insentif bagi peserta Rakan Muda penglibatan peserta Rakan Muda akan dikira di dalam Pentaksiran Aktiviti Sukan, Jasmani dan Kokurikulum Sekolah Menengah (PAJSK-SM) yang menjadi nilai tambah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“KBS akan meneroka lebih banyak insentif lain bersama KPM dan KPT bagi penglibatan pelajar sekolah dan IPT dalam program Rakan Muda di samping akan turut meneroka insentif lain dengan pihak swasta.

“Peserta Rakan Muda juga berpeluang untuk mengikuti program pembangunan belia yang lain di bawah KBS yang berkaitan dengan aspek kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran untuk melahirkan pemimpin muda di kalangan anak muda serta membuka peluang dalam bidang keusahawanan dan kemahiran,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini