Tumpuan :
Nasional

KBS peruntukkan RM3.5 juta naik taraf Stadium Hoki Indera Mahkota

Kerja menaik taraf Stadium Hoki Indera Mahkota dengan peruntukan RM3.5 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Foto: NSTP

KUANTAN: Peruntukan sebanyak RM3.5 juta digunakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf padang rumput tiruan (astroturf) serta kemudahan di Stadium Hoki Indera Mahkota, di sini.

Kerja menaik taraf bermula awal Oktober tahun lalu dan dijangka siap awal April tahun ini dengan beberapa penambahbaikan turut dilakukan antaranya kerja pendawaian semula peralatan elektrik, menambah lampu tempat duduk utama serta menyediakan saluran dan pam air baharu.

Pegawai Pembangunan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Najhan Mohamed berkata, projek menaik taraf stadium kali ini bukan sahaja menukar padang tiruan tetapi turut membabitkan setiap lapisan yang terdapat di bawah padang antaranya seperti batu dan pasir, lapisan yang lama dibuang digantikan dengan yang baharu.

Katanya, projek menaik taraf padang tiruan Stadium Hoki Indera Mahkota amat penting untuk dilakukan bagi memastikan lebih banyak kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa dapat diadakan di negeri ini pada masa akan datang.

“Sebelum ini gelanggang berkenaan sentiasa menjadi lokasi tumpuan penganjuran kejohanan hoki peringkat negeri dan kebangsaan, pelbagai kemudahan terdapat di stadium yang mampu memberi keselesaan pada pemain dan penonton.

“Saya yakin selepas ini banyak kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat diadakan di negeri ini,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Sebagai rekod, stadium berkenaan mula dibina pada 1996 dan kali terakhir padang tiruan berkenaan ditukar adalah pada 2012.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini