KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan sistem tempahan secara dalam talian untuk acara berskala besar termasuk konsert bagi memastikan pengurusan tempahan yang lebih telus.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata beliau maklum isu dibangkitkan operator konsert yang berdepan kesukaran membuat tempahan konsert khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana slot sentiasa penuh.
Sehubungan itu, katanya, KBS melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melihat transformasi kepada aspek pendigitalan bagi menangani isu berkenaan.
“Soalnya sekarang bagaimana untuk penuhi kehendak promoter konsert. Saya rasa jawapannya adalah pendigitalan. Tahun lalu, mulai 15 Jun, PSM melaksanakan tempahan dan bayaran dalam talian bagi fasiliti rekreasi dan sukan.
“Pada masa ini, PSM sedang bangunkan sistem tempahan untuk acara berskala besar di stadium utama dan ia dijangka mula dilaksanakan pada 2025. Ini berikutan tempahan secara manual (berdepan isu) antaranya disifatkan kurang telus.
“Dalam perbincangan saya dengan operator konsert, 16 syarikat menyatakan mereka mahu buat lebih banyak tempahan tetapi diberitahu sudah penuh dan tidak tahu pihak mana yang buat tempahan,” katanya Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu apakah langkah diambil PSM untuk menampung permintaan tinggi bagi penganjuran konsert khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Terdahulu menjawab soalan asal Poay Tiong mengenai usaha meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert serta menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia, Hannah berkata, sentiasa memastikan PSM yang bertanggungjawab dalam pengurusan ‘venue’ di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) diurus dan diselenggara supaya dapat dimanfaatkan secara optimum.
Dalam masa yang sama, katanya KBS bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi mengenal pasti sekiranya ada kartel dalam perkhidmatan disediakan.
“Bagi tahun ini, sehingga Oktober, sebanyak 2.147 juta hasil sewaan venue direkodkan membabitkan penganjuran sukan di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).
“Manakala bagi tempoh sama, sebanyak 54 penganjuran acara bukan sukan direkodkan membabitkan kutipan sewaan venue RM8.5 juta iaitu empat kali ganda berbanding penganjuran acara sukan .
““Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan hasii sewaan venue adalah 10.647 juta dengan hasil tahun ini paling tinggi pernah direkodkan KLSC,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai usaha menambah baik padang khususnya Stadium Nasional Bukit Jalil bagi perlawanan bola sepak, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi tujuan itu.
“Semasa saya masuk (KBS) pada 2022, ada isu banjir di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia sudah diselesaikan, tak berlaku lagi (banjir).
“Selain itu, kita sudah tukar rumput dan menukar kontraktor bagi memastikan penyelenggaraan lebih baik. Saya turut berbincang dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengenai usaha ke depan.
“Buat masa ini, kita melihat kepada rumput hibrid dan menyediakan dua tapak semaian baru untuk memastikan sumber rumput yang mencukupi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.