Tumpuan :
Nasional

Kayu balak, pokok bunga kertas bernilai RM4.2 juta dirampas PGA

FOTO: PGA

TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kayu balak dan pokok bunga kertas bernilai hampir RM4.2 juta di tiga lokasi berasingan di Tumpat dan Tanah Merah, kelmarin dan semalam.

Rampasan 10 kayu balak dan 749 kayu yang sudah diproses itu di Kampung Kuala Jambu dan Kampung Sebidang, Tumpat membabitkan nilai hampir RM3 juta.

Manakala, rampasan lebih 7,000 pokok bunga kertas membabitkan nilai RM1.25 juta di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan terbaharu jam 9 pagi semalam di sebuah kilang kayu dilakukan Batalion 8 menerusi Op Taring Wawasan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen sah sebelum pihaknya merampas 749 kayu yang sudah diproses, sembilan kayu bulat pelbagai saiz selain mesin memproses kayu membabitkan nilai hampir RM2.3 juta.

“Pemilik kilang yang juga lelaki tempatan berusia 52 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor dan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, pihaknya turut merampas 10 kayu balak pelbagai spesis selepas menahan sebuah lori di Kuala Jambu jam 2 pagi kelmarin.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka tiada dokumen yang sah dan kita turut menahan pemandu lori berusia 52 tahun itu.

“Anggaran nilai rampasan bernilai RM650,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Sementara itu Nik Ros Azhan berkata, lebih 7,000 pokok bunga kertas tanpa dokumen bernilai RM1.25 juta dirampas selepas menahan lori di SJR Lalang Pepuyu jam 6.40 petang kelmarin.

Katanya, pokok bunga kertas itu dipercayai diseludup dari Thailand dan tanaman itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Suspek lelaki yang juga pemandu lori berusia 59 tahun ditahan dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini