comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kawasan rendah di Kota Kinabalu, Penampang dinaiki air, tanah runtuh  

 

KOTA KINABALU: Hujan berterusan di daerah ini dan Penampang sejak tengah hari tadi, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, selain berlaku kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa buah kampung tidak boleh dilalui selepas dinaiki air lewat petang tadi.

“Hasil pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati Kampung Kolopis dan Sugud tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Sepasukan anggota sudah digerakkan ke lokasi banjir bagi bersedia dengan sebarang kecemasan dan anggota keselamatan lain termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta PKOB turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Tambahnya, penduduk sekitar juga diarahkan untuk sentiasa berwaspada sekiranya terdapat keperluan untuk berpindah berikutan bacaan Sungai Moyog berada pada paras waspada, iaitu lapan meter.

Difahamkan, hujan lebat berterusan hingga petang ini turut menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan hingga menutup laluan.

Antara yang dikenal pasti setakat ini ialah berhampiran Kampung Babagon Toki dan Kampung Timpoluon, Penampang dan Jalan Kota Kinabalu- Tambunan.

Beberapa kawasan lain di sekitar ibu negeri seperti di Kionsom, Kionsom Lama, Pomotodon dan Jalan Kionsom, Inanam serta Kampung Rampayan dan Mansiang, Manggatal turut dilaporkan antara yang terjejas akibat banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini