BALING : Hasrat kira-kira 80 peserta untuk meneruskan perkhemahan unit beruniform di Tapak Perkhemahan Lubuk Badak, Ulu Legong di sini tidak kesampaian selepas kawasan itu dinaiki air, malam semalam.
Kesemua mereka terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Siong sebelum dibawa pulang ke Daerah Kota Setar dengan menaiki dua bas jam 10.30 pagi tadi.
Difahamkan, peserta dari SK Seri Perdana, Alor Setar itu terdiri daripada ahli Tunas Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan Pengakap tiba di tapak perkhemahan tengah hari semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan tapak perkhemahan dinaiki air.
Guru yang mengiringi mereka mengambil langkah awal menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis untuk diselamatkan.
“Penyelamat seperti APM, polis Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam membantu memindahkan peserta ke SK Siong.
“Proses pemindahan dilakukan dalam masa singkat di mana tindakan awal diambil oleh guru dan kami membantu memindahkan dari lokasi perkhemahan membolehkan mereka bermalam di PPS, ” katanya ketika ditemui di PPS SK Siong di sini, hari ini.
Beliau menasihati mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti perkhemahan agar mengambil kira keadaan semasa dan cuaca yang tidak menentu.
“Nasihat APM kepada penduduk, badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan institut pengajian tinggi supaya elak melakukan aktiviti di tepi sungai atau tempat peranginan sebab musim peralihan monsun ini kemungkinan berlaku kejadian tidak dijangka seperti kepala air, ”katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 53 pelajar, 20 guru pengiring dan tujuh fasilitator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor dan seramai 70 pelajar dan 29 guru pengiring dari SK Seri Perdana, Kota Setar yang melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan berhampiran, dipindahkan ke lokasi selamat.