KUALA LUMPUR: Jalan Masjid India di sini, yang sebelum ini ditutup untuk laluan orang ramai susulan insiden lubang benam hingga mengirbankan seorang wanita warga India pada 23 Ogos lalu, kini dibuka sepenuhnya untuk orang ramai.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kerja pemulihan dan pembaikan kawasan itu berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal pada Februari ini.
Katanya, sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan itu, pemeriksaan terperinci dilaksanakan membabitkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara ‘deep boring’ bagi mendapatkan profil tanah di sekitar Jalan Masjid India.
“Sebanyak empat ujian deep boring telah dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir insiden Jalan Masjid India.
“Selain itu, beberapa kerja dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh Indah Water Konsortium (IWK), pembaikan kemasan siar kaki di lokasi kejadian yang rosak serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India yang disiapkan oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya pada sidang media selepas di Jalan Masjid India, hari ini.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Maimunah berkata susulan insiden itu juga, DBKL menubuhkan satu pasukan khas bagi menilai keselamatan struktur tanah, menyediakan cadangan teknikal, mengkoordinasi tindakan pelbagai agensi.
Katanya, antara agensi luar yang terbabit adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institusi Jurutera Malaysia serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia.
“Pasukan Khas yang dibentuk telah bermesyuarat lebih dari lima kali secara fizikal dan maya dan yang terakhir pada 18 Disember lalu bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam.
“Ulasan daripada pasukan khas ini diterima dan dikumpulkan. DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan akan dikemukakan kepada kabinet pada awal tahun 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum,” katanya.
Maimunah berkata DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan sekitar insiden secara berkala.
Katanya, pemeriksaan seumpama itu akan terus dijalankan oleh DBKL bersama syarikat utiliti dari semasa ke semasa.
Menurutnya, tindakan itu bukan hanya di Jalan Masjid India malah meliputi seluruh bandaraya bagi menjamin keselamatan penghuninya.
“Peruntukan RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada DBKL untuk tahun 2025 akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang,” katanya.
Maimunah berkata dengan pembukaan semula Jalan Masjid India, DBKL bertekad untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan dan selesa untuk didiami.
“DBKL juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dijalankan.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda mendapan di rezab jalan awam atau wujudnya lubang benam, orang ramai boleh membuat aduan melalui portal Adu@kl atau menghubungi talian skuad penyelamat di talian 03-40106337,”katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.