Tumpuan :
Nasional

Kawasan disahkan selamat jika bacaan pada tahap 25 ppm

PETALING JAYA: Kawasan Perindustrian Jaya, Ara Damansara, yang ditutup akibat kebocoran gas amonia akan dibuka selepas bacaan partikel per sejuta (ppm) mencapai tahap 25 bacaan.

Sehingga jam 3 petang tadi, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor masih merekodkan bacaan 200 ppm di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan jam 3 petang tadi, kawasan berkenaan masih berada dalam keadaan tidak selamat.

“Atas faktor ini dan nasihat daripada pihak bomba, kami masih menutup kawasan perindustrian ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Tambahnya, kawasan itu akan dibuka semula seperti sediakala sebaik masalah kebocoran gas amonia yang berlaku di sebuah kilang ais di sini, dapat diatasi.

Beliau turut meminta semua pihak terutamanya pemilik dan pekerja di kawasan industri serta penduduk di kawasan berhampiran memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Mengulas mengenai sebarang arahan perpindahan membabitkan penduduk kawasan kediman berhampiran, beliau berkata, sebarang arahan bakal dikeluarkan sebaik pihak bomba merasakan ianya tidak selamat.

“Pada masa ini situasi risiko kawasan ini masih berada pada tahap pemantauan dan pihak bomba akan memaklumkan kepada polis sekiranya penduduk perlu berpindah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kebocoran gas berlaku.

“Pada masa ini pihak bomba sedang melaksanakan kerja-kerja menyahcairkan gas amonia itu sebelum dibebaskan ke udara pada tahap tertentu.

“Bacaan yang masih direkodkan dalam kilang ais berkenaan adalah pada skala 240 ppm namun jumlahnya bacaannya berkurang sedikit apabila berada di luar premis kilang ais,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam semalam, pihak polis menerima maklumat dari orang awam tentang kebocoran gas amonia yang dikesan berpunca dari sebuah kilang memproses ais di Kawasan Perindustrian Jaya.

Susulan kejadian itu, pihak polis mengambil keputusan menutup keseluruhan kawasan perindustrian berkenaan seluas 400 meter persegi sehingga kini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini