comscore
Tumpuan :
Nasional

Kawasan batu kapur, paip pecah & hujan berpanjangan punca mendapan tanah – pakar

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Kawasan yang didasari oleh batu kapur (limestone), paip pecah yang menghakis lapisan tanah serta hujan yang berpanjangan antara penyumbang utama kejadian mendapan tanah.

Kejadian dikaitkan lagi dengan insiden yang berlaku di kilometer 66.2 berhampiran Plaza Tol Bentong pada Selasa (25 Julai) serta di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri, 23 Julai lalu.

Presiden Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Prof. Madya Ts. PGeol. Dr. Mohd Hariri Arifin berkata mendapan tanah kebiasaannya berlaku apabila batuan batu kapur melarut dan membentuk gegua atau rerongga.

Presiden Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Prof. Madya Ts. PGeol. Dr. Mohd Hariri Arifin

“Sampai satu tahap, bumbung gua yang terbentuk akan roboh dan akhirnya akan berlaku lubang benam (sinkhole). Dan berkemungkinan terdapat batu kapur tidak jauh dari kawasan terbabit,” jelasnya ketika dihubungi BuletinTV3.

Mengulas lanjut mengenai isu mendapan di Forest City katanya, ia mungkin berpunca daripada paip pecah yang boleh menghakis lapisan tanah sehingga membentuk lubang.

“Pendasaran atau asas pembinaan yang tidak kuat serta aktiviti tebus guna tanah juga berkemungkinan menjadi punca kejadian,” tambahnya lagi.

Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir. Ts. Noorfaizah Hamzah

Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir. Ts. Noorfaizah Hamzah berpandangan, fenomena ini terjadi kerana wujudnya ruang kosong di bawah permukaan yang disebabkan faktor proses alami (natural process) atau aktiviti manusia.

Jelasnya proses alami seperti hujan yang berpanjangan dan banjir juga penyebab kejadian mendapan tanah berlaku.

“Punca yang lain adalah disebabkan faktor geologi fizikal kawasan berkenaan dan juga berlaku keruntuhan lompang bawah tanah di sesetengah kawasan,” ujarnya lagi.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar

Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar pula berpandangan kedua-dua kejadian berkenaan, merupakan kes yang berbeza dan secara kebetulan ia terjadi dalam tempoh yang dekat.

Jelasnya bagi kejadian yang berlaku di lebuh raya berkenaan, adalah berkaitan dengan aktiviti pengorekan terowong laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mana senario itu kebiasaannya akan menyebabkan berlakunya lubang benam sama seperti kerja-kerja transit aliran ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara.

Kerja-kerja terowong yang menyebabkan berlakunya lubang benam pada masa kini, dilihat kurang menjadi isu kerana pihak perunding dan kontraktor telah lebih cekap meniliti perkara berkenaan berdasarkan pengalaman lepas.

“Mitigasi untuk mengelak kejadian lubang benam dibuat awal, namun adakalanya satu atau dua kejadian tidak dapat dielakkan kerana keadaan geologi yang tidak sama seperti dijangkakan,” jelas Abd Rasid.

Manakala bagi isu di Forest City, beliau berkata ia adalah lebih kepada masalah pembinaan termasuk kerja cerucuk atau pemadatan (compaction) tanah tambak yang tidak dapat menampung beban jambatan di atasnya.

Ahad lalu media melaporkan laluan sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas (PTP) mendap dan menyebabkan ia ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan.

Manakala jam 8.34 malam Selasa satu kejadian mendapan tanah turut berlaku di kilometer 66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, berpunca daripada runtuhan terowong 2 Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan laporan awal pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mendapati tanah mendap terbabit akibat runtuhan terowong 2 ECRL yang berada 13 meter di bawah laluan berkenaan sekaligus menyebabkan tanah mendap seluas 9.5 meter (m) lebar x 10 (m) panjang x 4.3 (m).

Loading...
Terkini