Tumpuan :
Nasional

Kawasan 10,000 hektar tanaman padi bantu Sarawak atasi krisis bekalan beras

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadiri Majlis Makan Malam sambutan 100 tahun Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching.

KUCHING: Sarawak yakin tidak akan menghadapi krisis bekalan beras apabila kawasan seluas 10,000 hektar yang ditanam dengan padi hibrid mengeluarkan hasil sepenuhnya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan keluasan itu, Sarawak dianggarkan mampu mengeluarkan 400 ribu tan metrik beras dalam tempoh 24 bulan di kawasan tanaman yang sudah rancang itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Makan Malam sambutan 100 tahun Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching.

Menurutnya, dengan jumlah pengeluaran itu, Sarawak berada dalam keadaan selamat daripada masalah kekurangan bekalan beras pada masa depan.

Sarawak ketika ini katanya, mengimport sebanyak 240 ribu tan metrik beras setahun bagi menampung permintaan makanan dalam wilayah berkenaan.

“Kalau kita ambil setahun 230 ribu tan metrik, sementara kita import 240 ribu tan setahun maka bezanya hanya 10 ribu tan metrik.

“Kalau kita campur lagi dengan pengeluaran yang bukan daripada tanah negeri seperti mereka di Spaoh, Ba’kelalan, Bario dan petani-petani kecil yang lain dengan mudah kita keluarkan 250 ribu tan metrik setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sambutan 100 tahun Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching malam tadi.

Tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan besar untuk membina sistem perparitan atau tali air sempurna di semua kawasan yang akan dijadikan jelapang padi ini.

Katanya, menerusi Belanjawan Sarawak 2025, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan sistem pengairan dan saliran untuk penanaman padi sehingga ke peringkat tersier bagi membolehkan mekanisasi serta penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Manakala peruntukan berjumlah RM750 juta lagi diberikan bagi pembangunan projek-projek pertanian berimpak tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini