Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
SERI KEMBANGAN: ‘Kawan-kawan dan pelanggan yang suruh saya letak pelekat ‘Muslim Kitchen’ itu’.
Itu kata pemilik sebuah premis masakan panas yang beroperasi di sekitar Balakong, Selangor selepas restoran miliknya diserbu dalam satu operasi bersepadu siang tadi selepas disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkaitan halal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Kajang, Ruhaizad Zahari berkata, operasi berkenaan dijalankan berasaskan aduan dari orang awam.
“Operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kajang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini adalah berasaskan aduan awam.
“Ia melibatkan penggunaan ungkapan yang menunjukkan restoran berkenaan boleh dimakan oleh orang Islam, dengan mereka menggunakan dan mempamerkan label dengan kenyataan “Muslim Kitchen”.
“Premis berkenaan disyaki melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, kerana tidak mempunyai pensijilan halal yang kemudiannya mengelirukan pelanggan beragama Islam”
Pemeriksaan di bawah bidang kuasa KPDN seperti pemeriksaan tanda harga, penggunaan barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan tepung gandum secara keseluruhannya mendapati, premis mematuhi dari aspek pemilikan had kuota barang kawalan yang digunakan untuk perniagaan.
“Walau bagaimanapun, perlanggaran di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, akan disiasat lanjut oleh pihak JAIS.”
“Jika sabit kesalahan, suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM5 juta, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM10 juta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.