Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Tiada keperluan melonggarkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) walaupun keadaan ketika ini tenang dan terkawal, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Situasi semakin aman menerusi pendekatan yang telah dilakukan sepanjang 10 tahun itu ujarnya tidak boleh dipandang enteng dan pihaknya tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.
“Kita sedia maklum kawasan pesisir Pantai Timur Sabah ini memang terdedah dengan pelbagai ancaman khususnya berkait dengan isu yang sering berlaku di perbatasan tetapi juga isu-isu yang melibatkan beberapa tuntutan dari pihak-pihak tertentu yang sentiasa mendatangkan masalah dari segi aspek kesejahteraan dan juga keselamatan rakyat di negeri Sabah ini.
“Jadi tidak dapat dinafikan bahawa pihak berkuasa yang mempunyai authority akan terus melipat gandakan usaha supaya kita tidak terjebak dalam situasi terperangkap tidak bersiap sedia itu yang sangat mustahak,
“Apa yang kita alami sekarang ini Alhamdulillah kita dapati bahawa keadaan tenang dan terkawal tapi ini tidak bermakna kita boleh melonggarkan langkah-langkah keselamatan yang telah kita letakkan di sepanjang tempoh 10 tahun lalu kita tidak boleh bersikap sambil lewa lagi,
“Bahkan kita semakin negara semakin aman kita terus menunjukkan pihak tertentu memberi Isyarat kepada mereka dari aspek keselamatan kita tidak akan berkompromi bertolak ansur,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
Beliau ditanya media mengenai perancangan PDRM sempena ulang tahun ke-10 tahun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Bagi tujuan itu juga Tan Sri Acryl Sani berkata dua batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak akan diwujudkan sekali gus menjadikan tujuh batalion PGA akan beroperasi di Sabah, termasuk lima batalion sedia ada.
Lima batalion PGA sedia ada ialah Batalion 14 Tawau, Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut, Batalion 17 Lahad Datu dan Batalion 20 Beluran.
“Ini juga mengambil faktor perkembangan infrastruktur ekonomi negara jiran kita terdekat kita dapati bahawa pembangunan ibu negeri ini akan memberi impak keadaan situasi keselamatan di sempadan negara jiran kita.
“Beberapa langkah-langkah menempatkan pos-pos kawalan dan untuk tujuan itu juga kita tingkatkan keupayaan pasukan polis marin di Pantai Timur Sabah ini bagi memastikan bahawa ancaman-ancaman yang datang dari arah laut dapat kita tangani sebaik mungkin,” katanya
Ditanya mengenai perjawatan pegawai dan anggota ESSCOM yang didakwa terlibat dengan kes membunuh dan bersubahat dalam kes pembunuhan baru-baru ini Tan Sri Acryl Sani berkata pengisian kekosongan akan digantikan dengan mereka yang sesuai bagi memastikan perjalanan operasi ESSCOM tidak terjejas pada masa akan datang.
“Sekarang kita sedia maklum ada beberapa anggota pegawai telah pun didakwa di Mahkamah dan ini menyebabkan beberapa kekosongan di perjawatan tersebut dan tindakan telah pun diambil sekarang untuk membuat pengisian menggantikan pegawai terlibat untuk memastikan perjalanan operasi ESSCOM tidak akan terjejas di masa akan datang,
“Sudah ada dalam perancangan kita ada yang telah diisi dan ada yang dalam proses untuk dikenal pasti pegawai dan anggota sesuai ditempatkan di perjawatan yang ditinggalkan kosong,” kataya
Enam anggota polis dan pegawai yang didakwa di Mahkamah Majistret Tawau Februari lalu atas tuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan pemandu e-Hailing Januari lalu.
Berdasarkan dokumen pertukaran, lima daripada mereka yang bertugas dalam ESSCom diarah bertukar serta merta ke Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Terdahulu Tan Sri Acryl Sani hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Sabah.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dilantik sebagai pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah yang akan bersara wajib esok.