PUTRAJAYA: Kawalan keselamatan di sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka akan dipertingkatkan bersempena dengan sambutan ambang kemerdekaan pada 30 Ogos ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pemantauan keselamatan dan pematuhan akan dilakukan oleh anggota polis di sekitar tiga lokasi sambutan itu bagi menjamin keselamatan orang ramai yang hadir menyaksikan acara berkenaan.
“Beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka sahaja yang akan ditutup pada malam sambutan (Ambang Merdeka), manakala di lokasi lain hanya tindakan segera akan diambil jika berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya kepada BERNAMA.
Bagi acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, beliau berkata dengan 100,000 pengunjung dijangka hadir, sebanyak 1,764 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai pada hari berkenaan termasuk 416 anggota trafik melakukan kawalan lalu lintas di sekitar Putrajaya.
Selain itu, katanya penjagaan keselamatan juga mendapat kekuatan bantuan daripada Pasukan Sahabat membabitkn 266 anggota daripada agensi seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Allaudeen berkata, sebagai persediaan bagi kawalan keselamatan sebelum sambutan berkenaan, polis telah mengumpulkan maklumat risikan ancaman keselamatan terkini selain melihat kepada penggunaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Putrajaya.
“Selain itu, bilik gerakan Full manning juga akan diaktifkan, dengan melakukan flushing di tapak sambutan antaranya untuk memastikan adanya laluan kecemasan bagi ambulans sekiranya ada kecemasan, serta penetapan laluan trafik yang selaras dan perancangan kecemasan lain,” kata Allaudeen.
Berkenaan penutupan jalan, beliau berkata sebanyak 18 jalan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup bagi tujuan raptai dan raptai penuh bermula 5 pagi hingga 11 pagi esok hingga 29 Ogos, manakala 22 jalan akan ditutup pada hari sambutan berkenaan.
“Penutupan itu tidak akan menjejaskan pergerakan lalu lintas di sekitar Putrajaya walaupun pada hari bekerja dan kita telah membuat makluman awal dalam hebahan menerusi media-media dan pelbagai saluran.
“Namun, bagi yang mungkin terkesan terutamanya melibatkan perjalanan ke pejabat pada hari-hari berkenaan dinasihatkan guna jalan alternatif atau merancang pergerakan lebih awal,” katanya.
Allaudeen turut menasihati orang ramai yang akan hadir bagi menyaksikan acara kemuncak di Dataran Putrajaya supaya menggunakan pengangkutan awam disediakan oleh Perbadanan Putrajaya iaitu kemudahan bas ulang-alik percuma bermula 4 pagi hingga 2 petang dengan kekerapan masa 10 minit dari dua pick-up point iaitu Terminal Putrajaya Sentral dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
“Pengunjung juga dinasihatkan untuk hadir awal ke lokasi bagi mengelakkan kesesakan dan jika bawa kenderaan letakkan di tempat yang dibenarkan,” katanya. –- BERNAMA