Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SHAH ALAM: Polis Selangor mempertingkatkan kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang datang berurusan di balai polis mahupun IPD akan diperiksa dan dicatat butiran berkenaan.
“Mereka yang datang ke balai polis semestinya ada urusan”
“Ini adalah langkah untuk memperketat kawalan keselamatan di IPD dan balai polis, bukan sahaja kepada anggota bertugas, malah kepada orang awam yang datang berurusan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam.
Beliau berkata, pihak polis juga sedang membuat penilaian untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sekitar IPD mahupun balai polis.
Mengenai pertambahan keanggotaan yang bertugas di waktu malam, jelas Hussein, perkara itu akan diteliti lebih lanjut.
“Kita akan meneliti perkara ini, ini perlu agar respon pantas dapat dibuat sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menggugat keselamatan,” ujarnya.
Jumaat lalu, serangan seorang lelaki berusia 21 tahun berlaku di Balai Ulu Tiram, Johor menyebabkan dua anggota polis terkorban dan seorang cedera.
Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun terkorban dalam insiden serangan kira-kira jam 2.45 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.