
Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Industri kurier negara meningkat dari 52 juta jumlah bungkusan pada tahun 2015 kepada lebih 899 juta jumlah bungkusan sehingga suku ketiga tahun 2024.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi mengimbangi penyampaian perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pengguna dan persaingan yang sihat oleh industri termasuklah penawaran harga perkhidmatan yang tidak predatori (predatory pricing).
“Garis Panduan Harga Rujukan ini merupakan panduan harga yang
boleh dikenakan oleh pemegang lesen kepada pelanggan mereka namun ia bukanlah harga minimum yang mandatori.
“Garis Panduan Harga Rujukan adalah kaedah kawal selia kendiri industri di mana penetapan kadar harga perkhidmatan kurier masih terpulang kepada pihak industri berdasarkan kos yang efisien, selari dengan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya lagi, persaingan yang sihat dan penawaran harga yang kompetitif di antara syarikat-syarikat kurier memberikan kuasa memilih kepada para pengguna.
Bagaimanapun kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengutamakan
kepentingan pengguna dari pelbagai sudut termasuk memantau kadar harga perkhidmatan yang ditawarkan.
Teo menjawab soalan dari Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang meminta justifikasi kenaikan harga minimum penghantaran barang kurier melalui Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier sedangkan jumlah penjualan dalam talian semakin meningkat saban tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.