comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaunselor Tabung Haji sedia tangani masalah emosi & psikologi jemaah

Oleh Azri Mukhlas

MAKKAH: Setiap aspek kebajikan termasuk kesihatan psikologi dan mental turut diambil berat oleh Tabung Haji bagi memastikan jemaah haji dapat melakukan ibadah dengan berkualiti.

Pengurus Kaunseling Tabung Haji, Mohamad Hanif Napi berkata bagi tahun ini unitnya memperkenalkan sudut ekspresi diri berserta beberapa aktiviti untuk para jemaah melepaskan tekanan emosi.

Menurut Mohamad Hanif mulai tahun ini juga unit kaunseling turut memuat naik maklumat berkenaan kesihatan psikologi dan mental di dalam aplikasi TH Hujjaj untuk kemudahan para jemaah.

Tajuk-tajuk infografik yang dipaparkan adalah isu-isu yang sering berlaku di kalangan jemaah.

Antaranya, tips mengawal kemarahan, cara untuk mengekalkan hubungan positif antara rakan sebilik, hubungan suami isteri dan tips menguruskan kewangan secara berhemah.

Katanya lagi, petugas unit kaunseling juga melakukan ziarah dari bilik ke bilik untuk bertemu jemaah dan memberi taklimat kaunseling.

“Ada kes-kes yang dirujuk terus oleh pakar perubatan. Ada jemaah yang pergi klinik. Pakar perubatan melihat ada simptom-simptom yang boleh dibantu oleh kaunselor. Ada juga rujukan daripada pengurusan maktab dan ada permohonan sendiri daripada jemaah haji.”

Menurutnya, seramai lapan kaunselor disediakan untuk membantu jemaah haji musim ini.

Tambahnya, masalah gangguan fikiran seperti depresi dan gangguan Obsesif kompulsif (OCD) antara masalah yang paling banyak diterima pihaknya.

Keadaan dipercayai berpunca antaranya akibat berjauhan dengan keluarga dan tidak bersedia untuk ke Tanah Suci.

Katanya, pihaknya turut menyediakan talian Peka untuk membantu jemaah yang memerlukan bantuan secara langsung.

Loading...
Terkini