LANGKAWI, Kedah: Kementerian Pendidikan (KPM) bermatlamat melahirkan pelajar yang kalis masa hadapan dan dengan mudah mampu berdaya saing selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ke arah itu, KPM melatih kumpulan kaunselor di sekolah untuk membimbing pelajar memahami keperluan majikan dan mengenalpasti peluang serta hala tuju masa hadapan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perancangan yang menyeluruh adalah penting dalam menyediakan pelajar yang mampu melihat dan membina masa hadapan mereka kelak.
“Apa yang penting adalah kita, di kementerian menyediakan murid ini jadi di peringkat sekolah lagi kita dah sediakan mereka. Apakah ruang ruang untuk mereka sambung mereka belajar esok esok.”
“Sebab tu di sekolah pun kita latih kaunselor-kaunselor untuk faham apakah keperluan employment keperluan majikan pada masa akan datang, jadi bila habis peperiksaan SPM anak anak ini dah tahu kalau kalau ank buat teknikal dia pi ke mana, kalau nak minat Sains dia kemana guru-guru akan terus membantu anak-anak bagi memastikan supaya mereka faham apakah perjalanan yang terbaik untuk masa depan mereka, katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah SMK Bohor Jaya di SMK Kedawang, Langkawi.
Beliau bercakap demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut, kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pelajaran.
Laporan itu berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Jabatan Perangkaan.
Walaupun data berkenaan adalah dari 2019, namun laporan itu menyebut trend berkenaan dipercayai berterusan pada 2020 dan tahun lepas.
Antara faktor utama yang digariskan sebagai alasan tidak berminat menyambung pelajaran adalah terpengaruh dengan pempengaruh di media sosial selain beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.
Justeru, menurut Datuk Dr. Radzi lagi, KPM akan berusaha membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) supaya kumpulan pelajar lebih bersedia dengan segala cabaran pada masa hadapan.