Tumpuan :
Nasional

Kaum ibu jahit bendera Palestin gergasi, tanda solidariti

KUALA KANGSAR: Rakyat negara ini mempunyai cara tersendiri bagi menunjukkan sokongan terhadap penduduk Palestin yang kini menderita ekoran kezaliman rejim zionis.

Tidak ketinggalan, sekumpulan kaum ibu di sini yang menggunakan kemahiran menjahit mereka untuk menjahit bendera Palestin bersaiz besar.

Menurut wakil kepada kumpulan ibu ini, Nor Kasmirah Abu Othman, inisiatif itu dilakukan bagi menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

Katanya, seramai 40 orang ibu di sekitar Manong mengambil bahagian dengan menjahit bendera Palestin yang bersaiz 3.5 kali 4 meter.

“Kita dah rancang ni sebulan lebih dah, memang kita merancang untuk buat satu bendera besar nak menggambarkan betapa kami amat menyokong saudara Islam kita di sana,” katanya.

Malah kata Nor Kasmirah, mereka turut mengadakan bacaan yasin bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk negara itu.

Katanya lagi, bendera gergasi itu akan digantung di perkarangan Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Manong.

Ujarnya, orang ramai yang berada di sekitar PEDI Manong atau mereka yang melalui jalan Kuala Kangsar-Simpang Tiga turut dijemput untuk menurunkan tandatangan di atas bendera besar itu bagi menunjukkan tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Loading...
Terkini