SHAH ALAM: Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan semula Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau berjaya mengalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.
‘Ingatan’ itu disuarakan Menteri Besar Selangor, susulan pendedahan Mohamed Azmin bahawa beliau bertanggungjawab untuk mengemukakan nama Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, kepada istana untuk dipilih menerajui kerajaan negeri selepas PRU-14.
Mengulas lanjut Amirudin yang sebelum ini dikenali sebagai anak didik Mohamed Azmin, berkata aspek pelaburan di Selangor juga lebih baik dengan pencapaian sehingga RM18 bilion selepas bekas ahli Parlimen Gombak terbabit ‘meninggalkan’ negeri itu pada 2018.
“Kau jangan lupa Min (Azmin), aku yang kalahkan kamu enam bulan lalu, Min.
“Selepas kamu tidak jadi Menteri Besar pencapaian terbaik kita dari 30 tahun, adalah RM18 bilion pelaburan pada 2018.
“Masa dia (Azmin) jadi Menteri Besar, pelaburan hanya RM5 hingga RM7 bilion sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH dan BN, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis yang dihadiri lebih 2,000 penyokong itu ialah Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Namun tiada wakil Barisan Nasional (BN) Selangor berada pada majlis berkenaan.
Pada PRU-15 November lalu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berjaya merampas kerusi Parlimen Gombak daripada Mohamed Azmin dengan memperoleh 72,267 undi.
Pada masa sama, Amirudin secara sinis turut meminta supaya Mohamed Azmin bersabar dan tidak gelojoh, selaras dengan peningkatan usianya.
“Susah orang ini kadang-kadang nak makin tua dia jadi penyabar ini makin tua makin gelojoh, susah nak cakap.
“Umur sudah nak masuk 60 tahun, tidak lama lagi nak masuk skim usia emas, sabar sikit Min,” katanya.