Tumpuan :
Nasional

Kastam Zon Tengah tumpas sindiket seludup minuman keras, dagangan bernilai lebih RM1.6 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail menunjukkan barangan rampasan pada Sidang Media sindiket pembekalan minuman keras dan dagangan kontena berduti di Kompleks Kastam WPKL. – FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan dagangan bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Selangor pada 19 Januari lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah dibantu Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM hasil risikan selama seminggu.

“Pada 9 Januari jam 11.30 pagi, bertindak atas maklumat pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 telah berjaya menggagalkan aktiviti pembekalan minuman keras import pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Balakong.

“Pemeriksaan rapi menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama sebanyak 2,488 liter dengan nilai rampasan RM157,716 dan membabitkan jumlah cukai dan duti RM241,000,” jelasnya.

Dalam serbuan itu, empat lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 45 tahun ditahan dipercayai pekerja gudang terbabit.

FOTO: NSTP

Manakala serbuan kedua pula di sebuah gudang persendirian di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan yang membawa kepada penemuan minuman keras pelbagai jenama yang disorok oleh sindiket.

“Pemeriksaan di premis berkenaan telah menemukan sejumlah minuman keras sebanyak 7,804 liter dianggar berjumlah RM310,680 dan duti terlibat sebanyak RM717,450.

“Modes operandi menyewa gudang persendirian bagi menyimpan bekalan minuman keras sebelum di edar ke pasaran tempatan,” jelasnya.

Bagi kes pertama dan kedua disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam operasi ketiga pula pihaknya berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga bergula selepas sebuah kontena ditahan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada hari sama.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah produk cecair disyaki minuman tenaga yang mengandungi gula sebanyak 24,600 liter dan anggaran nilai RM172,200 melibatkan cukai dan duti dianggarkan RM79,458.

“Siasatan mendapati dagangan telah diikrarkan dengan tidak benar, dimana Borang Kastam 1 telah diikrarkan sebagai minuman tanpa gula bagi mengelak cukai dan duti terlibat,” jelasnya lagi.

Kesemua minuman itu dirampas bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat JKDM Zon Tengah di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini