Tumpuan :
Nasional

Kastam Sabah sahkan terima rampasan 110kg jongkong emas

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mengesahkan penerimaan serahan 110 kilogram jongkong emas yang dirampas di Lapangan Terbang Tawau, 6 Februari lalu.

 

Bagaimanapun, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, semua jongkong emas berkenaan dikembalikan kepada pembawa selepas disahkan tiada sebarang pelanggaran salah laku.

Katanya, hasil siasatan, JKDM tidak mengesan pelanggaran mengikut Akta Kastam atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta Kastam 1967 berhubung aktiviti berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa 6 Februari kira-kira jam 11 pagi, JKDM Sabah ada menerima serahan barangan jongkong emas daripada pihak polis bantuan Lapangan Terbang Tawau.

“JKDM Sabah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati jongkong emas adalah tidak tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, Perintah Kastam (Larangan mengenai Eksport) 2023 dan Permit Pergerakan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan) 2022,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, sebaik JKDM mengesahkan tiada pelanggaran berhubung aktiviti membawa emas berkenaan, ia terus dikembalikan kepada pembawa.

Laporan media semalam, beberapa individu yang membawa 110 kilogram jongkong emas ditahan di Lapangan Terbang Tawau.

Laporan itu mendakwa, semua jongkong emas berkenaan dikesan diletakkan di dalam bagasi penumpang ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini