PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 14,883 kilogram (kg) pelbagai produk tembakau, beras dan bijirin dengan nilai cukai melebihi RM2.81 juta pada 29 November lalu.
Kesemua komoditi berkenaan cuba diseludup dari sebuah negara di Asia Timur menggunakan tiga buah kontena sepanjang enam meter melalui jalan laut dan masuk menerusi Pelabuhan Utara, di Pelabuhan Klang, Selangor.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, tiga kontena terbabit diisytiharkan sebagai ‘Assorted Food Beverages’ yang tidak memerlukan permit import.
“Pemeriksaan ke atas kontena terbabit menemukan produk seperti tembakau kunyah dan serbuk tembakau dengan seberat 7,303 kg dianggarkan bernilai RM325,000 dengan nilai cukai RM2.80 juta.
“Pasukan operasi juga menemui 7,580 kg beras basmati bersama produk tembakau terbabit dianggarkan bernilai RM351,700 dengan nilai cukai RM16,680,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Zon Tengah, di sini, hari ini.
Menurutnya, bahan-bahan terbabit dipercayai diseludup masuk bagi pasaran tempatan terutama membabitkan pengguna warga asing di Malaysia.
Katanya, tiga wakil ejen penghantaran ketiga-ketiga kontena berkenaan sudah dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, Norlela berkata pihaknya merampas 0.43 kg dadah jenis MDMA yang cuba diseludup masuk daripada negara Eropah menggunakan perkhidmatan kurier pada 29 Julai lalu.
Katanya, bungkusan berisi dadah berkenaan dialamatkan kepada seorang individu di sekitar Petaling Jaya, namun selepas semakan dibuat mendapati alamat berkenaan adalah palsu.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dengan ketat termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan dadah bagi membanteras kegiatan berkenaan.
“Sindiket tidak lagi menggunakan kargo atau bagasi tapi mereka memecah, kecilkan dadah dan menghantar menggunakan perkhidmatan kurier dengan berat sekitar 300 ke 500 gram sahaja.
“Orang awam diseru menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.