SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 5.82 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai hampir RM4.48 juta disyaki rokok seludup dalam lima operasi berasingan pada September dan Oktober lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, berkata tiga daripada operasi berkenaan dilakukan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, manakala dua lagi di Pelabuhan Barat dan sebuah gudang di Selat Klang Utama, Pelabuhan Klang, Selangor.
Secara keseluruhan jumlah rampasan itu bernilai RM576,448 dengan anggaran cukai RM3.89 juta.
Beliau berkata operasi di Pelabuhan Klang melibatkan pemeriksaan sebuah kontena pada 27 Sept lepas yang telah membawa kejayaan rampasan 4.16 juta batang rokok putih dipercayai untuk tujuan import ke negara ini, manakala 960,000 batang rokok putih dirampas dari sebuah gudang pada 16 Oktober lalu.
“Dalam operasi di gudang ini, kita berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun untuk tujuan siasatan. Rokok-rokok yang dirampas dipercayai untuk tujuan simpanan sementara di gudang ini sebelum dihantar ke lokasi berbeza di Semenanjung Malaysia menggunakan syarikat lori penghantaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Norlela berkata pada 2 dan 7 Oktober lalu pula, pihaknya melakukan pemeriksaan harian ke atas tiga buah kargo di Cargo Terminal Operator (CTO) FCZ KLIA, dan merampas 752,200 batang rokok putih yang dipercayai untuk tujuan eksport ke negara di rantau Oceania dan Eropah.
“Modus operandi adalah mengikrar barangan dalam invois sebagai papan pemotong, kotak kertas dan beg beli-belah serta tekstil dengan menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo.
“Barangan dagangan ini cuba diseludup keluar bersama-sama bungkusan mengandungi surat khabar lama dan selimut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata bagi operasi di Pelabuhan Klang, kes disiasat di bawah Peraturan-peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990 manakala siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 dilakukan bagi operasi di FZC KLIA. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.