
Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras sejumlah 48,007.6 liter yang tidak berkastam di Pelabuhan Utara dan Barat pada 9 dan 11 Januari lalu.
Kata Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman, kesemua minuman keras yang dirampas melibatkan 39,868 botol dan 48,000 tin bernilai RM1.7 juta termasuk cukai.
“Pada 9 Januari lalu, kita melakukan pemeriksaan ke atas sebuah gudang di kawasan zon bebas Pelabuhan Barat.
“Hasil pemeriksaan menemui 607.60 liter (868 botol) minuman keras disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM131,251
“Pada 11 Januari pula, pemeriksaan ke atas dua kontena bersaiz 40 kaki telah menemui sebanyak 47,400 liter lagi (39,000 botol dan 48,000 tin) yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta termasuk duti dan cukai.
“Minuman keras ini dipercayai dibawa masuk daripada negara Eropah dan akan dieksport ke negara di Asia,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(a) dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.