comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kastam rampas lebih 250 kg dadah RM18.2 juta

NILAI: Lebih 250 kilogram (kg) dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin bernilai RM18.2 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selasa lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu,  12 daripada 18 kotak yang disita mengandungi bungkusan plastik lutsinar dengan bahan ketulan kristal disyaki MDMA seberat 232.05 g dianggarkan bernilai RM17 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan menunjukkan dadah jenis MDMA dan ketamin yang dirampas di Kompleks Kargo Udara, KLIA, Sepang, pada 18 Julai lalu. -foto NSTP

Katanya, ia penemuan terbesar kastam membabitkan MDMA dan jumlah berkenaan boleh menghasilkan kira-kira 1.5 tan ekstasi.

“Turut ditemui, satu kotak mengandungi bungkusan plastik dengan bahan serbuk kristal putih disyaki ketamin seberat 20.55 kg (RM1.2 juta) manakala lima kotak lagi ialah cakera brek kereta.

“Sindiket terbabit mengisytiharkan barang berkenaan sebagai aksesori kereta, sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah berbahaya, sebagai modus operandi bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Zazuli berkata, siasatan awal mendapati dagangan berkenaan diimport dari sebuah negara di Eropah dan kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.

Bekalan dadah itu adalah untuk pasaran di dalam negara.

Katanya, hasil risikan mendapati pengimport  terbabit menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan sehingga menyukarkan tangkapan dibuat .

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek dipercayai warga tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Loading...
Terkini