
KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas ganja seberat 545.35 kilogram (kg) dengan nilai pasaran RM1.69 juta dalam satu operasi khas di pesisir pantai Kuala Perlis pada 5 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapa, memaklumkan operasi itu dijalankan pada jam 2 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM berdasarkan maklumat risikan.
“Hasil operasi, pasukan penguat kuasa menemui 25 guni beras yang mengandungi 499 ketulan mampat bahan tumbuhan hijau disyaki ganja dengan berat kasar 545.35 kilogram (kg).
“Kejayaan penemuan dadah ini adalah hasil kolaborasi antara Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM serta Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (COBRA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah menggunakan laluan laut dari negara jiran dan mencampakkan guni-guni berisi dadah di pesisir pantai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
JKDM turut menggesa orang ramai untuk membantu dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan, termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan terlarang lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.