Tumpuan :
Nasional

Kastam rampas daging beku termasuk katak bernilai RM1.4 juta

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PELABUHAN KLANG: Daging ayam, kambing, itik dan katak beku bernilai RM1.4 juta antara yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bulan lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, kesemua daging dan makanan sejuk beku itu ditemui dalam serbuan pada 9 dan 12 Disember tahun lalu, dalam tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan satu kontena di Pelabuhan Utara.

Katanya, keseluruhan rampasan seberat 77,059 kilogram daging dan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM1.4 juta termasuk duti cukai.

“Pemeriksaan mendapati kontena itu mengandungi pelbagai jenis daging sejuk beku termasuk dada ayam beku (frozen chicken breast), daging kambing beku (frozen lamb meat), itik beku (frozen duck), serta katak beku (frozen frog).

“Selain itu, turut dijumpai makanan sejuk beku seperti ‘shrimp dumpling’, ‘bun (pao)’, ‘corn dumpling’ dan lain-lain,” katanya.

Semakan awal mendapati kesemua barang dagangan itu tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), selain
membuat pengikraran palsu.

“Dagangan dalam kontena diikrar sebagai ‘Frozen Dumpling’ dan ‘Hand-Grasp Pan Cake’ bagi mengaburi pihak kastam.

“Hasil siasatan juga mendapati barang dagangan dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia.” tambahnya.

Pengimportan daging dan makanan sejuk beku adalah tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan oleh MAQIS di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu kesalahan mengimport barang larangan tanpa permit sah. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (mana lebih besar) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (mana lebih besar) atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.” ujarnya.

Dalam kes berasingan, JKDM turut merampas 9.7 kilogram tembakau mentah dan kunyah bernilai RM1.69 juta termasuk cukai, pada Oktober dan November tahun lalu.

“Kesemua bahan yang diikrar sebagai makanan dan minuman itu ditemui dalam tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

“Rampasan meliputi 8.1 kilogram tembakau kunyah dan 1.5 kilogram tembakau mentah yang disyaki tiada memiliki permit import,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini