comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam rampas 8.39 juta rokok putih bernilai RM6.38 juta di Pelabuhan Klang

Oleh: Syafiqah Damanhuri

DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 8.39 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM6.38 juta disyaki diseludup di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 November lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Raizam Setapa@Mustapha berkata, dalam satu operasi pada jam 11 pagi melibatkan pemeriksaan ke atas enam kontena, pihaknya menemui produk tembakau yang bernilai RM785,117 dengan anggaran cukai RM5.61 juta.

“Siasatan awal ke atas dokumen, barangan dagangan ini diikrarkan sebagai produk pelbagai.

“Semasa serbuan, kami dapati bahagian hadapan kontena dipenuhi kotak makanan ringan, produk bijirin dan air minuman. Kami temui rokok-rokok ini di belakang kotak-kotak berkenaan yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini.

Tambahnya, seorang ejen perkapalan warga tempatan berusia 50-an turut ditahan.

Siasatan ketika ini tertumpu kepada mengenal pasti pengimport rokok berkenaan yang dipercayai dari negara Asia Selatan untuk pasaran tempatan.

“Siasatan kami turut mengesahkan rokok-rokok ini tidak mempunyai permit import,” katanya.

Menurutnya, pengimportan rokok dan tembakau tertakluk kepada permit import yang digariskan dalam Butiran 66 Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Zon Bebas 30(1) Akta Zon Bebas 1990 serta Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini