comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam Pahang rampas rokok, minuman keras bernilai RM2.69 juta

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman (tengah) ketika sidang media rampasan rokok dan minum keras oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang di Wisma Kastam Jalan Teluk Sisek, Kuantan.-FOTO: NSTP.

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas rokok dan minuman keras bernilai RM2.69 juta dalam serbuan di dua gudang di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut di Negeri Sembilan pada 28 September lalu.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman, berkata daripada jumlah itu, jabatan itu menyita pelbagai jenis rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM351.657 dan RM2.33 juta membabitkan jumlah cukai dan duti.

Katanya, dalam kes pertama, bertindak atas maklumat orang awam, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan melakukan sebuah di sebuah gudang pada jam 8 pagi.

“Hasil pemeriksaan, kami menemukan 3,156,691 batang rokok pelbagai jenis dengan nilai RM286,118 manakala jumlah cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM2.11 juta.

“Pengimportan rokok memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam melalui kaedah yang ditetapkan mengikut Peraturan 42(1), Peraturan Kastam 2019,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Jalan Bank, di sini hari ini.

Bagi kes kedua di sebuah gudang di taman perindustrian sama pada jam 2 petang, Mohd Asri berkata, premis itu menjalankan kerja pemprosesan, pengilangan dan penyimpanan minuman keras disyaki tanpa lessen.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 3,928.40 liter minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak berkastam dirampas dengan nilai RM65,538 manakala jumlah cukai dan duti dianggarkan RM227,597.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati gudang tidak dilesenkan untuk menyuling, menapai atau mengilang liquor yang memabukkan mengikut Akta Eksais.

“Bagi kes rokok, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976 pula membabitkan kes minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan yang dilakukan di dua gudang terbabit, tiada tangkapan dan pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada dua kes itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta bersama membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, dadah dan mercun.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini