comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam kukuh mekanisme pastikan kutipan cukai, urus perbelanjaan telus

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pelaburan dalam platform digital dan peralatan inovasi untuk memastikan maklumat berkaitan cukai menjadi lebih mudah diakses dan difahami semua rakyat.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, langkah itu antara usaha pengukuhan mekanisme bagi akauntabiliti dan ketelusan dalam kutipan cukai serta pengurusan perbelanjaan.

Menurut beliau, pihaknya memahami pembayar cukai berhak mendapat kepastian mengenai kewajipan mereka, selain mempunyai hak untuk mengetahui wang hasil titik peluh dibelanjakan.

“Melalui inisiatif seperti transaksi dalam talian dan kemas kini masa nyata (real-time) mengenai dasar cukai, kami mahu memperkasakan pembayar cukai untuk memenuhi kewajipan mereka (membayar cukai) dengan yakin serta mudah.

“Tetapi ketelusan sahaja tidak mencukupi. Kita juga mesti memastikan sistem cukai adalah adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. Kami komited untuk menegakkan prinsip percukaian progresif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama penutup pada Forum Dasar Percukaian Malaysia keempat anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Aidid Tajuddin.

Jelas Datuk Anis, pihaknya sedang membina sistem cukai yang responsif mengikut keperluan dan aspirasi rakyat dengan meningkatkan pelaporan awam, pengauditan bebas serta penglibatan rakyat.

Mengulas lanjut, ujar beliau, memudahkan proses perdagangan kekal menjadi keutamaan JKDM.

Pihaknya menyedari bahawa proses pelepasan kastam yang lancar dan cekap adalah penting untuk perniagaan berkembang maju dan perkembangan ekonomi.

“Untuk tujuan ini, kami melabur dalam memodenkan prosedur kastam, mengguna pakai teknologi dan inovasi seperti pengimbas kecerdasan buatan (AI) untuk menyelaraskan proses, mengurangkan kertas kerja serta mempercepatkan pelepasan kargo.

“Melalui inisiatif seperti Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) dan Pengendali Ekonomi Sah (AEO), kami memperkasakan perniagaan untuk mengharungi kerumitan perdagangan antarabangsa dengan lebih mudah dan yakin,” katanya.

Sementara itu, Datuk Anis berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia amat menyedari kepentingan melindungi sempadan daripada perdagangan haram, penyeludupan dan keganasan.

Justeru, tegasnya, JKDM komited untuk menjaga keselamatan dan integriti negara.

“Melalui pengurusan risiko yang dipertingkatkan, perkongsian risikan dan kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa, kami memperkukuh usaha untuk memerangi jenayah rentas negara dan melindungi rakyat serta masyarakat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini