
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 3.2 juta batang rokok seludup membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai RM2.9 juta di sebuah rumah di Kampung Peringat, pada 19 Februari lalu.
Dalam serbuan jam 11.30 malam, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu turut merampas sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire.
Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ketika serbuan lebih 3.1 juta batang rokok atau 320 peti bahan itu dijumpai disimpan dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 30,000 batang rokok lagi disembunyikan dalam Toyota Vellfire.
“Jumlah rokok dirampas adalah lebih 3.2 juta batang membabitkan nilai RM2.9 juta termasuk cukai dan nilai kenderaan dirampas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan rokok seludup dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi Jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.