comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam Johor rampas rokok, minuman keras tak bercukai bernilai RM13.9 juta

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras membabitkan jumlah sitaan dan cukai sebanyak RM13.9 juta.

Operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri termasuk satu serbuan di Kuala Lumpur dijalankan antara 17 Julai hingga 17 Ogos lalu.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, serbuan dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Pelabuhan Pasir Gudang; Kuchai Lama, Kuala Lumpur; Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Taman Impian Emas di sini.

Beliau berkata, modus operandi semua sindiket adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi mengelak dari dikesan JKDM.

FOTO: NSTP

“Dalam serbuan yang dilakukan, ada antara sindiket yang mengikrarkan kontena mereka membawa barangan seperti barangan plastik dan alatan sembahyang.

“Ada juga yang kita serbu di gudang simpanan selain yang dirampas dari dalam lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya ketika sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi sepanjang sebulan itu, turut dilancarkan Op Outlet yang meliputi kawasan di daerah ini, Gelang Patah, Muar, Batu Pahat, Pengerang, Pontian, Pasir Gudang dan Mersing.

“Sebanyak 180 premis seperti kedai runcit, premis gudang, kediaman dan kedai makan diperiksa menghasilkan 95 kes dengan 76 tangkapan iaitu seramai 39 warga tempatan dan 37 warga asing kerana disyaki terbabit dalam penjualan barang seludup termasuk rokok dan minuman keras,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Aminul Izmeer berkata, pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ekstasi seberat 2.9 kilogram bernilai RM1.3 juta yang ditemui hasil risikan Pasukan Peninjau Marin Sungai Pulai, JKDM Johor di Jalan Parit Perpat Laut, Rengit.

Beliau berkata, dalam operasi jam 2 petang, 10 Ogos lalu, pihaknya terdahulu menjumpai beg beroda yang disembunyikan di bawah satu kotak gabus sebelum pemeriksaan dibuat.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai bungkusan hitam mengandungi plastik yang tertera tulisan teh cina, alat acuan dan ‘vacuum sealer’ serta 14 peket kecil berisi pil dan serbuk disyaki dadah.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan laluan tikus untuk menyeludup dadah keluar atau masuk ke negara ini sebelum diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini